Tuesday 8 November 2011

Malaysia tak ke mana tanpa peniaga Cina


Kita gempar mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa Malaysia takkan kemana tanpa peniaga Cina. Hasil daripada ucapan tersebut boleh menyebabkan satu gambaran dibuat seolah-olah kaum Melayu itu adalah kaum yang kurang hebat jika dibandingkan dengan kaum Cina. Kenyataan tersebut juga mendorong masyarakat berbilang kaum di negara ini membuat perbandingan diantara prestasi perniagaan satu kaum berbanding kaum yang lain. Walaupun mungkin saya mengakui kenyataan tersebut ada kebenarannya tetapi pada dasarnya saya tidak bersetuju satu perbandingan perlu dibuat diantara prestasi perniagaan kaum cina berbanding kaum melayu. Membuat perbandingan prestasi perniagaan diantara kaum Cina dengan kaum Melayu bolehlah diumpamakan seperti membuat perbandingan diantara mempelam dengan mangga. Hampir serupa tapi pada kelas yang berbeza. 

Jika kita melihat dunia perniagaan dalam konteks Malaysia yang merdeka sekitar 50 tahun yang  lalu, kita akan mendapati bahawa kaum Cina telah berniaga di Malaysia ini untuk tempoh sekurang-kurangnya 3 generasi, yang mana modal telah mula dikumpulkan oleh generasi pertama melalui gaji sebagai buruh lombong bijih timah yang diusahakan oleh Penjajah British. Peluang memulakan perniagaan pada era pra-kemerdekaan tersebut nyata telah memberi kelebihan yang sangat banyak kepada kaum Cina dan sehingga kini mereka telah menguasai hampir keseluruhan cabang perniagaan dan ekonomi. Ada juga pemodal-pemodal kaum Cina ini yang memang datang dari China untuk tujuan berniaga memandangkan Tanah Melayu pada ketika itu menawarkan satu peluang perniagaan yang tidak disaingi oleh kaum pribumi iaitu kaum Melayu. Malahan pula British memang memberikan peluang perniagaan tersebut seluas-luasnya kepada kaum Cina dalam polisi pentadbiran mereka yang berkonsepkan pecah dan perintah. Berbanding kaum Melayu, kaum Cina pada masa itu memang telah terdedah kepada dunia perniagaan kerana kaum tersebut adalah kaum yang telah matang. Ini kerana tamadun China memang telah lama wujud iaitu melebihi 2000 tahun dan sepanjang tempoh itu kaum Cina telah belajar tentang pelbagai perkara.  

Disebabkan oleh pengetahuan yang cetek, dan ditambah oleh polisi pengasingan antara kaum yang dilaksanakan oleh penjajah British pada masa itu, kaum Melayu hanya berminat untuk menjadi petani sahaja. Itu pun pertanian untuk tujuan kegunaan domestik sahaja bukan untuk tujuan komersil. Kaum Melayu pada masa itu gagal untuk membuat satu unjuran pemilikan hartanah pada masa akan datang kerana mereka sentiasa percaya bahawa tanah-tanah milik mereka akan diwariskan kepada generasi akan datang tanpa mengambil kira kaum Cina yang menjalankan perniagaan tanpa saingan ini akan memperolehi keuntungan yang besar dan kelak mampu untuk membeli negara ini. Akhirnya, melalui pendidikan dan sedikit pengalaman, kesedaran ini hanya mula muncul pada generasi ke 2 kaum Melayu pasca kemerdekaan. Walaubagaimanapun, kebanyakan perniagaan kaum Melayu hanya bermula pada generasi ke 3 kerana pada generasi inilah kebanyakan dari mereka mempunyai pengetahuan yang baik dan mempunyai pekerjaan yang baik yang berupaya untuk mengumpulkan modal. Walaubagaimanapun, cabaran memulakan perniagaan yang dibuat oleh kaum Melayu pada masa kini adalah sangat sukar kerana kaum Cina telah dahulu menguasai setiap cabang perniagaan dan seboleh-bolehnya tidak akan memberi peluang untuk perniagaan kaum Melayu berkembang. Ini amat berbeza jika dibandingkan ketika kaum Cina memulakan perniagaan, kaum Melayu telah memberikan sokongan dengan menjadi pelanggan mereka dengan suci hati dan sokongan itu masih berlarutan sehingga kini.

Sebenarnya kaum Melayu, sebagai rakyat majoriti negara ini, dengan kata lainnya sebagai pengguna terbesar mampu berbuat sesuatu sekiranya dapat disedarkan dan berusaha untuk menyokong satu sama lain iaitu sebagai peniaga dan pengguna dalam memastikan ekonomi negara ini bertukar tangan. Tetapi usaha ini tidak adan berhasil dengan mudah. Kesedaran perlu ditanamkan secara berterusan supaya generasi akan datang faham akan tanggung jawab untuk menyokong ekonomi sesama kaum seagama ini.  

Perubahan sebenarnya ditangan kita semua.



No comments:

Post a Comment